KUANTAN – Tiga jemaah haji maut manakala tiga parah termasuk pemandu, selepas  van yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori di Km210.2 Lebuh raya  Pantai Timur menghala ke Kuantan dekat sini, awal pagi tadi.
Mangsa yang terbunuh ialah penumpang hadapan, Kamarudin Ab Rahman, 43, dari  Permatang Badak dan dua penumpang belakang, Zainab Awang Hassan, 59, dari  Kampung Seri Teruntum dan Fatimah Said, 63, dari Kampung Rozali dekat Jalan  Gambang di sini.
Pemangku Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, ASP  Zainalabidin Othman berkata dua lagi penumpang dan pemandu van itu mengalami  kecederaan dan kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
“Nahas jam 3.40 itu berlaku semasa van yang membawa lima jemaah haji  terbabit dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) menuju ke  Kuantan.
“Dipercayai di tempat kejadian, van itu telah merempuh bahagian belakang lori  muatan bijih besi terbabit yang berada di lorong kiri jalan.
“Ekoran itu, ketiga-tiga mangsa mati di lokasi kejadian akibat cedera parah  di kepala dan badan,” kata Zainalabidin kepada pemberita.
Beliau berkata mangsa yang terbunuh dihantar ke hospital yang sama untuk  bedah siasat dan keluarga semua mangsa kemalangan telah dimaklumkan. –  BERNAMA
Comments