Skip to main content

Bila Ulama Bertikam Lidah


Jika orang awam gagal ‘menguruskan perbezaan’, masih tidak mengapa. Itu masih boleh diterima. Ini kerana orang awam kebanyakannya masih  kurang ilmu.  Selain kurang cerdik, orang awam juga kurang terdidik. Justeru, emosi yang panas acap kali mendahului fikiran yang bernas dalam menghadapi perbezaan pendapat atau pandangan. Namun, apabila para ulama yang sewajar sudah cerdik dan terdidik juga terjebak dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan, ini sesungguhnya satu tragedi yang sangat menyedihkan.   
Sesungguhnya, ini adalah salah satu cabaran untuk ahli-ahli agama masakini. Cabaran yang boleh merobek kewibawaan ilmu dan ketinggian peribadi mereka. Betapa sekarang kita dapat melihat ulama sesama ulama telah tega bertelagah dan bertikam lidah. Yang dijadikan senjata bukan ilmu dan fakta, tetapi sindiran dan tempelakkan yang sangat menjelikkan. Ada di antaranya yang berani mencabar pihak lawan untuk berdebat bagai ayam sabung yang berkokok dengan sombong. Ada yang mencemik, mencebir dan senyum sinis ketika membahaskan pandangan pihak lain.  
Tidak salah untuk berbeza, tetapi biarlah dengan nada dan nuansa yang mengekalkan kasih sayang dan silaturahim. Apa gunanya kelulusan yang berjela-jela, dengan gelaran yang beraneka rupa, tetapi adab dan akhlak tidak terjaga.  Pada hal, seorang ulama silam, Ibnu Mubarak berkata: “Aku mempelajari adab selama tiga puluh tahun dan aku mempelajari ilmu selama dua puluh tahun dan adalah mereka (para ulama) mempelajari adab kemudian barulah mempelajari ilmu. “
Jika benar yang dicari ialah kebenaran, masakan ada sikap sombong yang menonjol. Keangkuhan itu boleh dibaca melalui sikap, tulisan dan kata-kata. Cabar sana, perleceh sini. Pelbagai label juga telah dilontarkan… Ini ‘sunni jumud’, itu ‘wahabi sesat’, sipolan ‘sufi menyeleweng’ dan sipolan ‘salafi tegar’. Subhanallah, lupakah pada pesan  Ibnu Umar ini : “Tiadalah seseorang lelaki itu dianggap alim sehinggalah dia tidak hasad dengki kepada orang yang lebih alim daripadanya dan tidak menghina orang yang kurang daripadanya serta tidak mencari dengan ilmunya upahan kebendaan.”
Timbul pertanyaan, apa benar pergeseran ini disebabkan oleh perbezaan ilmu, hujah dan prinsip? Atau sebab sebenar tidak lain hanya sifat hasad dengki. Berbeza bukan kerana ilmu atau amalan, tetapi kerana tidak senang melihat yang di sebelah ‘sana’ lebih ramai pengikutnya, lebih banyak hartanya dan lebih tersohor namanya. Alasan perbezaan ilmu cuma mainan bibir.  Apa yang berkecamuk di dalam hati hanyalah sifat hasad dengki. wallahua’lam.
Harapan kita, para ulama janganlah sekali-kali merelakan diri dijadikan ‘ayam sabung’  oleh pihak berkepentingan. Akibatnya, hukum agama akan dijadikan modal untuk mengaut keuntungan duniawi. Ulama menyerang ulama umpama dua ekor gajah yang berjuang… akibatnya umat akan jadi seperti pelanduk yang mati di tengah.
Broker kuasa dan harta akan tertawa apabila ulama merelakan diri mereka digunakan sebagai batang kayu pada kapak untuk menebang kayu. Bukankah ulama adalah pewaris para nabi?  Maka pada siapa lagi umat ini hendak berlindung jika ulama sendiri pun  sudah diperalatkan oleh yang punya harta dan kuasa? Jadi tidak hairan jika ada pihak secara sinins menyindir, satu fatwa berapa harganya?
Pergeseran di kalangan ulama bukan sahaja mengelirukan, bahkan merugikan… Bayangkan seseorang yang baru berjinak-jinak hendak berzikir, tiba-tiba diterjah oleh mereka yang dianggap ulama dengan kata,  “Zikir semacam itu bid’ah”. Bagaimana pula reaksi seorang pelajar yang sekian lama belajar ilmu Tauhid di sekolahnya menerusi pendekatan Tauhid Rububiyah dan  Uluhiyyah dianggap sesat oleh ulama A? Manakala ada pula pelajar yang mengambil pendekatan belajar Tauhid mengikut pendekatan ‘Sifat Dua puluh’ dianggap sesat oleh ulama B?
Itu belum dikira, ada individu yang mufarakah daripada solat berjemaah dengan imam yang dakwanya  ’musyabbihah’ dan  ’mujassimah’ kerana kaedah belajar tauhidnya tidak sah. Dan pihak yang terdakwa pula membalas dengan menuduh pihak lawannya ‘bid’ah dalalah’ dan ‘syirik’ kerana berdoa dengan wasilah dan istighasah.  
Apa nanti akan berlaku anak dara dari kelompok ‘sifat dua puluh’ akan menolak untuk dijodohkan dengan pemuda yang datang daripada golongan ‘tauhid uluhiyah dan rububuyah? Bagaimana pula dengan sembelihan, kenduri-kendara dan aktiviti-aktiviti muamalat antara kelompok sufi dan salafi?  Sedangkan jika diteliti, semua pihak yang saling bertelagah ini masih mengucap kalimah syahadah. Masih beriman dengan Allah dan RasulNya.  
Bukan sahaja mereka yang bertelagah ini duduk sekampung, tinggal setaman, rakan kerja, malah ada kalanya terdiri daripada sanak saudara sendiri. Musibah dan nikmat mereka masih saling berkaitan. Kenduri kahwin, sakit demam, kemalangan dan urusan jenazah (apabila menghadapi kematian) masih saling memerlukan. Alangkah baiknya jika pergeseran ini mampu didamaikan. Berbeza tidak semestinya menimbulkan sengketa.
Teladanilah sifat lapang dada Imam Safie rhm yang  pernah berkata, “pandangan ku betul, tetapi aku tidak menolak kemungkinan pandangan orang lain pun betul juga. “ Jiwanya penuh dengan adab dan akhlak tanpa menafikan keyakinannya terhadap diri sendiri. Imam-imam besar itu bukan sahaja mempunyai ilmu yang tinggi tetapi juga akhlak dan keperibadian yang tinggi. Ilmu dan adab sangat serasi di dalam diri mereka.
Justeru, sekalipun ada masanya para ulama zaman dahulu berbeza pendapat, namun masyarakat banyak mendapat manfaaat hasil perbezaan ilmu dan hujah di kalangan mereka. Banyak buku yang terhasil, apabila mereka saling mempertahankan hujah mereka. ‘Pertarungan ilmu’ di dalam gelanggang adab ini sangat bermanfat dalam usaha membudayakan ilmu. Pada zaman itu jelas ikhtilaf menjadi satu rahmat kepada masyarakat.
Berbeza pendapat di kalangan ulama tidak menjadi masalah. Itu sudah fitrah dan sunatullah yang tentunya punya hikmah yang tersendiri. Namun, yang menjadi masalah ialah sikap ulama dalam menghadapi perbezaan. Sikap negatif hanya akan menimbulkan perbalahan yang tidak akan berkesudahan. Pertikaian yang dulu-dulu, yang hakikatnya telahun istirehat pada titik ‘kami bersetuju untuk tidak bersetuju’  telah dibongkar kembali. Kononnya untuk mencari kebenaran. Ironinya, hasilnya, masih yang itu-itu juga.  
Bagi yang sangat sayang Imam Safie, mendakwa sangat berpegang teguh dengan mazhabnya, lihat adab Imam yang hebat ini ketika beliau  mempunyai pandangan yang berbeza dengan gurunya Imam Malik.  Dengan penuh rasa sayang beliau berkata, “ apabila disebut ulama, maka Malik adalah bintangnya.” Apa kurangnya dengan keperibadian Imam Ahmad, murid kepada Imam Shafie, yang walaupun mempunyai banyak perbezaan pandangan dengan gurunya namun masih mengakui, “ demi Allah, aku tidak tidur malam selama tiga puluh tahun kecuali aku berdoa untuk Imam Shafie.”
Perbezaan dikalangan para ulama silam benar-benar bersumber dari hati yang inginkan kebenaran, fikiran yang disinari ilmu  dan rasa yang tulus ikhlas kerana Allah semata. Lalu Allah menjaga hati mereka… tetap punya rasa cinta walaupun berbeza. Berbeza benar keadaannya dengan ahli agama masa kini. Kita kurang mendapat mendapat manfaat hasil perbezaan di kalangan mereka. Yang kita dengar hanyalah lontaran cemuhan, sikap memperlekehkan dan mengejek antara satu sama lain.
Sesungguhnya,  umat akhir zaman ini tidak hanya memerlukan ulama yang luas ilmunya, tetapi juga jujur lagi amanah sikapnya. Ulama yang bukan hanya petah berhujah dengan Al Quran dan Al Hadis tetapi mempunyai adab dan akhlak.  Ulama yang bukan hanya mempunyai kelulusan tetapi punya ketulusan. Yang hebat dalam pengajian dan pergaulan. Ulama yang bukan hanya mewarisi ilmu, malah akhlak para nabi.
Ulama perlu bebas dari gamitan harta dan  belitan kuasa.  Jika ada perbezaan dikalangan mereka, apa salahnya bertemu empat mata, berbincang dan bermuzakarahlah dengan penuh tenang dan dalam keadaan tertutup. Kata bijak pandai, “people dont care how much you know untill they know how much you care – manusia tidak peduli berapa banyak ilmu kamu, sehingga mereka tahu sejauh mana kamu ambil peduli.” Lalu, seorang ulama sudah semestinya bersikap prihatin, simpati dan empati itu ketika menghadapi perbezaan dengan ulama lain!
 
Surat Dari Pengerusi Surau Mustaqimah
Program Infaq Pelajar MADI
Penyerahan Cheque
Anak-Anak Yatim
 

Comments

Popular posts from this blog

Maksud Sebenar Sekufu.

Soalan: Saya terkeliru dengan persolan sekufu dalam perkhawinan. Apakah maksud 'sekufu' yang sebenarnya seperti yang telah ditetapkan dalam Islam? Adakah ia bermaksud yang jika seorang berkedudukan rendah dari segi taraf hidup, pendidikan dan sebagainya tidak layak untuk bergandingan dengan seorang yang berkedudukan lebih tinggi dari segi nilaian kebendaan ( dunia )? Nurul Suhana, Kuantan Jawapan: Kufu dari sudut bahasa bermaksud sama atau setaraf. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, meredeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan. Sebahagian fuqahak mutaakhirin al Syafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua. Menurut Imam Syafei perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram.Oleh sebab itu beliau sendiri tidak menolak perkah

Kemusnahan Tanah Suci Mekah Yang Dirahsiakan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak sembang-sembang pasal perkembangan sejarah sikit sebanyak. Walaupun nampak macam lari sikitniche blog ni yang lebih kepada kesihatan dan bisnes tapi anyway sekali-sekala tak salahkan?!  Just nak sedarkan dari terlambat dan sebenarnya  niche  blog ni yang hakiki adalah KESEDARAN. Sebab mungkin ramai orang TAHU tapi sedikit sangat orang yang SEDAR. So, kerja saya adalah untuk sedarkan serami mungkin orang yang masih tidur. Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?! Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidi

Wajah Cicit Keturunan Rasulullah SAW Telah Tersebar

Adakah anda ingat lagi apakah gelaran Rasulullah s.a.w untuk zaujahnya (isterinya), iaitu Saidatina Aisyah R.A Rasulullah s.a.w pernah menggelar Saidatina Aisyah R.A dengan gelaran Al-Humaira yang bermaksud putih kemerah-merahan. Ap Rasanya ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik pipi yang putih kemerah-merahan ini. Sebenarnya beliau adalah cicit Rasulullah, iaitu anak ulamak besar Madinah Al-Munawwarah, Sayyid Yusuf Halim anak Syeikh Jameel Halim Al-Husaini. Keturunan Rasulullah s.a.w melalui Sayyidina Husain. K7L : Jangan ada yang taksub pulak sudah..   SUMBER Popular Post: Mengapa Yahudi Cerdik? Roboh Masjid Punca Allah Hantar Taufan Haiyan? Surat Dari Wanita Kristian Kepada Wanita Islam