Selepas umat Islam dijajah semenjak seribu tahun yang lampau umat Islam kini masih teraba-raba mencari ‘jalan pulang’ kepada ajaran Islam. Misalnya dalam sesuatu isu yang memerlukan pandangan, pendapat serta persepsi Islam maka akan tampil berbagai pihak yang memberikan pendapat yang berbeza. Malah kadang-kadang hingga ditahap bercanggah antara satu dengan yang lain. Apabila masing-masing ada hujah dan sandaran maka dikatakan perkara itu adalah khilaf yang dibolehkan berbeza. Memang benar Islam membenarkan perbezaan pendapat dalam aspek yang dibolehkan berbeza. Namun perlu diingat dan difahami dalam perbezaan itu ajaran Islam menuntut agar umat membuat pilihan yang terbaik supaya wujudnya keselarasan, selari, serasi, kesatuan dan perpaduan. Terutama sekali dalam aspek kemasyarakatan. Janganlah hendaknya sering terjadi perbezaan hanya kerana Islam membenarkan berbeza. Sedangkan setiap perbezaan pendapat perlu ditangani secara kasih sayang, bijaksana, toleransi, berlapang dada dan berhemat. Barulah perbezaan atau khilaf itu mendatangkan rahmat. Realitinya yang berlaku selama ini aspek yang sepatutnya mendatangkan rahmat telah bertukar menjadi laknat dan musibah kepada umat.
Ambil satu contoh yang amat ketara dalam aspek perbezaan fahaman politik. Bukankah fahaman politik itu termasuk dalam perkara khilaf atau ijtihadi atau cabang yang dibolehkan berbeza. Kalau menurut logik tentulah umat Islam tidak berkrisis, bersengketa, bermusuh dan jauh sekali dari berbunuhan disebabkan oleh ikhtilaf itu. Namun realitinya kita umat Islam telah dan sedang sama-sama melihat buktinya di hadapan mata bagaimana umat Islam sanggup menumpahkan darah saudara seagama demi menegakkan fahaman politik yang berbeza itu. Terbukti dalam realitinya yang umat Islam tiada iman dan kasih sayang serta tidak pandai menangani perbezaan dalam perkara khilaf termasuk berbeza fahaman politik.
Selain toleransi, berlapang dada dan menghormati perbezaan pendapat perlu diingat dan difahami yang ajaran Islam sangat menganjurkan rundingan, bermuafakat, berpakat-pakat serta seia sekata dalam perkara yang dibenarkan. Berunding, bermuafakat dan berpakat-pakat itu adalah lebih aula atau lebih penting, lebih utama dan sangat menjadi faktor kepada perpaduan umat. Realiti inilah yang belum berlaku di kalangan umat Islam yang kelihatan amat payah hendak duduk bersama di meja rundingan, satu petanda ego, sombong dan mementingkan diri sendiri.
Di sini sekali lagi saya katakan terus terang seperti sebelum ini dan bertujuan mengutuk serta membaiki diri kita sendiri. Kita sebenarnya bersifat dua tiga kali bodoh. Diperbodohkan oleh musuh umat Islam. Kita derhaka kepada Tuhan maka akibatnya kita tidak dibantu oleh Tuhan. Kita lupakan Tuhan dan Tuhan lupakan kita. Apa maksud saya? Umat Islam membeli produk musuh-musuh Islam. Umat Islam menjual minyak kepada musuh-musuh Islam. Umat Islam banyak menyumbang kepada kekayaan dan kemajuan musuh-musuh Islam. Mereka yakni musuh-musuh Islam yang kita menjadi penyumbang kepada kekayaan mereka telah membina industri senjata besar-besaran. Namakan apa sahaja jenis senjata perang, mereka bangunkan seberapa canggih. Sekali lagi kita menjadi penyumbang kekayaan kepada mereka melalui kita membeli berbagai jenis senjata yang canggih-canggih dari industri senjata mereka. Selepas itu dalam perang saudara kerana berbeza fahaman politik, kita gunakan senjata yang kita beli dari musuh untuk membunuh saudara seagama.
Tidak cukup setakat itu terdapat di beberapa negara umat Islam, pemimpin atau mereka yang terlibat menjemput musuh untuk membantu membunuh saudara seagama. Kita menjadi dua tiga kali rugi kerana dua tiga kali diperbodohkan. Lihatlah nasib Iraq yang telah hangus dibakar oleh musuh. Lihatlah Afghanistan yang telah dan sedang hangus dibakar oleh musuh. Iran sedang dicurah minyak dan bakal menunggu percikan api untuk dibakar hangus seperti Iraq dan Afghanistan. Mesir, Libya dan Yaman telah dicucuh api, hanya tidak hangus. Syria sedang dinyalakan api yang musuh harapkan biar hingga hagus. Bagaimana pula dengan negara kita? Ambillah iktibar dan pengajaran dari negara-negara lain itu. Jangan kerana perbezaan fahaman politik dan permusuhan politik menjadi sebab negara kita juga terbakar hangus.
Tips
Comments