Skip to main content

Kehidupan SALAFUSSOLEH yang ANEH.

Mari kita lihat gambaran secara umum suasana masyarakat para sahabat (salafussoleh) selepas dididik oleh Rasulullah SAW. Biar saya senaraikan ciri-ciri kebaikan yang ada pada mereka, yang menjadikan mereka umat terbaik bagi seluruh zaman.
Perlu diingat bahawa kebaikan yang ada pada masyarakat para sahabat (salafussoleh) adalah kebaikan menurut Al Quran dan Sunnah, yang mungkin tidak ada nilai kebaikan pada setengah-setengah orang Islam sekarang. Memang kalau Islam tidak dipelajari dan tidak diyakini secara terperinci dan menyeluruh, corak pemikiran dan skil penilaian seseorang itu tidak akan tepat sebagaimana yang diminta oleh orang Islam itu sendiri. Satu-satunya cara penyelesaiannya ialah dengan menyelaraskan ilmu dan kefahaman Islam pada umat Islam agar ia tepat dan lurus sebagaimana yang dikehendaki oleh Al Quran dan Sunnah. Barulah nanti umat islam tidak berkrisis lagi dalam menilai sesuatu, terhadap yang baik semuanya mengatakan baik dan terhadap yang buruk semuanya mengatakan buruk.
Masyarakat para sahabat (salafussoleh) ialah masyarakat yang berjaya menerapkan konsep kehambaan (ubuddiyah) terhadap ALLAH dalam hati dan dalam kehidupan lahir mereka. Bila manusia benar-benar sedar bahawa mereka hamba ALLAH, maka manusia akan hanya bertuhankan ALLAH dan menolak apa saja selain-Nya. Ketaatan, pengabdian dan penghormatan hanya pada perintah dan undang-undang ALLAH, dan tidak pada nafsu, syaitan, manusia, dunia dan apa-apa kuasa pun selain ALLAH. Dan usaha-usaha mereka itu tidak didorong oleh apa-apa kepentingan pun selain untuk mencari keredhaan ALLAH. Masyarakat para sahabat (salafussoleh) hidup untuk berbakti. Berbakti kepada ALLAH dan kepada manusia. Tujuannya semata-mata untuk mencari keredhaan ALLAH dan kebahagiaan Akhirat yang kekal abadi. Inilah sukatan kebaikan mereka, yang kalau dikelaskan secara umum terbahagi kepada dua iaitu:
  1. Khidmat (bakti) kepada ALLAH.
  2. Khidmat (bakti) kepada sesama manusia.
Al Quran sendiri membagikan kebaikan itu kepada dua:
Maksudnya: Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali yang mengadakan hubungan dengan ALLAH (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia (hablumminannas), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itudisebabkan mereka durhaka dan melampaui batas.
(Ali Imran: 112)

KHIDMAT DENGAN ALLAH

Cinta mereka kepada ALLAH adalah seperti apa yang digambarkan oleh Al Quran. Firman-Nya:
 
Maksudnya:  Mereka yang senantiasa mengingati ALLAH semasa berdiri, duduk dan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. 
(Ali Imran: 191)
Maksudnya:  Sesungguhnya orang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut ALLAH, gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (karenanya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. 
(Al Anfal: 2)
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada ayat Kami, ialah orang yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat Kami mereka menyungkur sujud dan bertasbih serta memuji Tuhan dan mereka tidak menyombong diri.
(As Sajadah: 15)
Dengan hati yang begitu dekat dengan ALLAH mereka sangat ingin melakukan khidmat bakti kepada-Nya dengan cara:
 

1.     Sembahyang

Sembahyang para sahabat bukan saja sembahyang yang baik (khusyuk) tapi juga banyak. Paling kurang sembahyang mereka sehari semalam 100 rakaat. Bermacam-macam sembahyang sunat yang mereka lakukan siang dan malam. Al Quran menceritakan hal mereka:
Maksudnya:  Perut mereka jauh dari tempat tidur (mereka tidak tidur pada waktu biasa orang tidur, untuk mengerjakan sembahyang malam) sedang mereka berdoa kepada Tuhan dengan rasa takut dan harap, serta mereka menafkahkan apa apa rezki yang Kami berikan.
(As Sajadah: 16)
Dengan hati yang cinta ALLAH mereka tidak jemu dan letih bersembahyang. Malah mereka merasa memperoleh kekuatan dengan sembahyang itu. (Bukan untuk dapat pahala atau fadhilatnya saja).

 

2.     Baca Al Quran

Masyarakat para sahabat (salaffussoleh) dapat menjadikan Al Quran sebagai bahan bacaan harian mereka. (Macam kita baca surat khabar). Bukan saja mereka dapat faham dam menghayati serta mendapat petunjuk daripada Al Quran, tapi yang aneh mereka juga dapat mengulang-ulang bacaan itu sebanyak mungkin tanpa jemu dan letih. (Kita baca surat khabar pun setakat satu pusingan saja, lepas tu tolak ke tepi). Tidak keterlaluan rasanya kita umpamakan sukanya para sahabat membaca Al Quran sebagaimana sukanya kita membaca warkah utusan daripada kekasih hati. Mereka menganggap Al Quran daripada ALLAH itu sebagai bingkisan daripada kekasih mereka, sebab itu mana mungkin mereka jemu untuk mengulangnya berkali-kali. Sesetengah mereka dapat khatam Al Quran dalam masa dua hari. Ada yang satu minggu sekali khatam. Dan rata-rata satu bulan sekali.
Mereka baca Al Quran sambil menangis malah sewaktu-waktu pingsan dan ada yang mati kerana takut dan terkejut dengan berita Al Quran. Para sahabat (salafussoleh) menganggap tidak ada bahan bacaan yang lebih penting daripada Al Quran. Tidak ada yang lebih besar, lebih luas skop ilmunya dan lebih hebat daripada Al Quran. Sesuailah dengan firman ALLAH yang menceritakan kehebatan Al Quran:
Maksudnya: Dan sekiranya ada suatu bacaan (kitab suci) yang dengan bacaan itu gunung-gunung dapat digoncangkan atau bumi jadi terbelah atau kerananya orang-orang yang sudah mati dapat berbicara, (maka itulah Al Quran). Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman itu mengetahui bahwa seandainya Allah menghendaki (semua manusia beriman), tentu Allah memberi petunjuk kepada manusia semuanya. Dan orang-orang yang kafir senantiasa ditimpa bencana disebabkan perbuatan mereka sendiri atau bencana itu terjadi dekat tempat kediaman mereka, sehingga datanglah janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak menyalahi janji.
(Ar Ra’d. 31)
Mereka cukup dengan Al Quran. Membaca Al Quran bermakna membaca segala-galanya dan mengetahui segala-galanya pula. (Sebab mereka faham erti dan tafsiran ayat-ayat itu). Dengan Al Quran mereka dapat mengetahui rahsia bumi, langit, dan dan Akhirat. Mereka baca bukan untuk fadhilat, berkat dan pahalanya saja, tapi lebih daripada itu. Al Quran menjadi sumber hukum, petunjuk hidup, penguat keyakinan, pendorong kesungguhan berjuang dan berjihad, penghidup fikiran dan hati, serta segala-galanya. Para sahabat benar-benar berpendidikan Al Quran dalam hidup dan tindakan mereka. Sebab itu mereka menjadi umat yang terpimpin dan senantiasa mendapat dorongan dan daya juang untuk melaksanakan kebaikan dan semua undang-undang ALLAH.
Sebab itulah sekumpulan ahli fikir Yahudi yang berazam untuk melemahkan umat Islam telah sepakat mengatakan bahawa cara yang paling berkesan untuk melumpuhkan umat Islam ialah dengan memisahkan mereka daripada Al Quran. Musuh-musuh ALLAH itu tahu bahawa selagi Kitab ALLAH dijadikan panduan dan pegangan, selama itu umat Islam tidak akan lemah dan tidak boleh dipermainkan.

 

3.     Zikrullah

Demi cinta kepada ALLAH , para sahabat (salafussoleh) sangat asyik dengan ALLAH. Rindu dan kasih cinta mereka kepada ALLAH melebihi cinta kasih kepada selainNya. Sebab itu mereka sentiasa berada dalam zikrullah (mengingati ALLAH). Mereka inilah yang ALLAH maksudkan dengan firman-Nya:
Maksudnya:  Mereka yang sentiasa mengingati ALLAH pada waktu berdiri, duduk dan baring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. 
(Ali Imran: 191)
Dalam apa saja keadaan mereka terkenangkan ALLAH. Tetapi mereka berzikir bukan untuk dapat fadhilat seperti hendak menjadi kebal, dapat terbang seperti burung atau berenang seperti ikan. Ibarat kita terkenang-kenang dan terbayang-bayang orang yang kita cintai. Bukankah itu tanpa satu kepentingan pun selain kerana cinta yang mendalam? Begitulah para sahabat (salafussoleh) terhadap Allah Ta’ala. Kerana mereka sangat kenal ALLAH, nampak kehebatan-Nya dan terasa benar kebaikan dan jasa bakti-Nya, maka lahirlah cinta suci kepada-Nya. Allah Ta’ala sebagai membalas ingatan hamba-Nya, telah menjanjikan sesuatu yang sangat mahal.
Firman-Nya:
Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, dengan mengingati ALLAH itu hati menjadi tenang.
(Ar Ra’d: 28)
Dan para sahabat (salafussoleh) telah memperoleh apa yang ALLAH janjikan itu. Dengan banyak mengingati ALLAH, ALLAH mempermudahkan urusan hidup lahir batin mereka yang kerana itu mereka memperolehi ketenangan hidup (ketenangan hati) dan dapat membentuk masyarakat yang tenang serta aman. Firman ALLAH:
Maksudnya:  Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” 
(Ibrahim: 7)
Selain itu zikrullah juga boleh menggilap hati (melembutkan hati). Dengan zikrullah, kita mengikis segala mazmumah yang berkarat di jiwa. Bila berzikir, kita memasukkan mahmudah dan membuang segala mazmumah (penyakit hati) seperti hasad dengki, sombong, bakhil, tamak, gila dunia, dendam, penakut, riak, ujub, pemarah dan lain-lain. Dengan ‘pil’ zikir, nafsu jadi lemah dan syaitan akan lari. Sebab itu masyarakat yang kuat berzikir ialah masyarakat yang aman daripada gangguan mazmumah, nafsu dan syaitan. Mereka hidup bersama hati yang bersih (sufi) dalam keadaan saling berbaik-baik dan timbang rasa. Sebab itu para sahabat selamat daripada maksiat dan mungkar.

 

4.     Puasa

Para sahabat (salafussoleh) adalah orang-orang yang tidak takut dan bimbang dengan puasa-puasa sunat apalagi wajib. Mereka tidak merasa rugi atau letih dengan berpuasa malah mereka rasa bersyukur kerana dapat menundukkan nafsu semata-mata mencari keredhaan ALLAH. Dengan itu mereka rasa lebih khusyuk dan bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan kerja-kerja harian.
Sebagian para sahabat (salafussoleh) ada yang berpuasa seperti puasa Nabi Daud a.s, satu hari berpuasa satu hari berbuka. Ada yang berpuasa dua hari dalam seminggu, Senin dan Khamis. Ada yang membanyakkan puasa pada bulan-bulan baik seperti Rejab, Syaaban dan Syawal. Paling kurang dari mereka berpuasa tiga hari sebulan, Pada awal, pertengahan dan hujung bulan.
Masyarakat yang ahlinya rajin berpuasa ialah masyarakat yang kuat mujahadah dengan kerakusan nafsu dan kegilaan terhadap dunia. Bila kerakusan nafsu dan kegilaan terhadap dunia dapat dilemahkan, manusia tidak akan bercakaran dan berkrisis lagi. Mereka akan tenang dan aman daripada perebutan dan perlumbaan untuk saling menjatuhkan. Inilah caranya masyarakat para sahabat (salafussoleh) dapat menegakkan kebaikan (makrufat) di kalangan mereka.

 

5.     Berjuang dan berjihad

Masyarakat para sahabat (salafussoleh) adalah masyarakat yang bekerja siang dan malam untuk ALLAH. Malam beribadah (sembahyang, zikir dan baca Al Quran) dan siangnya bergelanggang di tengah manusia untuk mengembangkan Islam, mentadbir masyarakat serta mengendalikan kehidupan secara islam.
“Beribadah waktu malam, berjuang pada waktu siang.”
Orang yang dikatakan asyik dengan ALLAH itu bukanlah orang yang sepanjang masa duduk di masjid, surau dan pondok. Para sahabat (salafussoleh) membagikan masa mereka untuk khidmat kepada ALLAH dalam berbagai-bagai bentuk. Seperti sembahyang, berjuang juga adalah satu bentuk pengabdian dan pengorbanan untuk ALLAH. Sebab kedua-duanya adalah perintah ALLAH. Oleh itu para sahabat tidak melebihkan yang satu daripada yang lain, tidak sembahyang saja dan tidak berjuang saja. Dalam mengerjakan sembahyang, mereka tidak mengharap apa-apa selain untuk berbakti kepada ALLAH. Begitu juga dalam berjuang mereka tidak mengharap kepentingan apa-apa melainkan untuk berkhidmat kepada Allah Ta’ala.
Mereka berjuang sepanjang masa tanpa cuti, bukan secara sambilan. Mereka mencari keredhaan Allah Ta’ala dengan memperjuangkan agama Allah Ta’ala dalam bentuk dakwah dan langsung ke medan perang. Sasaran perjuangan ialah manusia, agar seluruh manusia di dunia menyembah Allah Ta’ala dan mengikut syari’at islam. Kerana itu mereka tidak sayang untuk korbankan diri, masa, harta benda dan kaum keluarga serta kampung halaman. Kira-kira 2/3 daripada sahabat Rasulullah dimaqamkan di luar Semenanjung Tanah Arab. Ertinya mereka meninggalkan rumahtangga dan kaum kerabat untuk memperjuangkan agama Allah di tempat-tempat lain, hingga akhirnya mereka berkubur di merata tempat. Islamnya orang-orang Cina di Negeri China adalah kerana perjuangan Saad Abi Waqas, Qutaibah bin Muslim, dan Abdullah Al Bahili.
Demikian jadwal dan perancangan para sahabat (salafussoleh) dalam mengisi hidup yang sementara di dunia. Pekerjaan utama ialah menjadi hamba kepada ALLAH, yakni berkhidmat untuk agama ALLAH manakala kerja-kerja untuk duit, untuk perut dan untuk dunia hanyalah sampingan atau part-time.
Dengan sikap dan pandangan begitu, masyarakat para sahabat (salafussoleh) menjadi masyarakat yang terkawal, bukan oleh polis, tetapi oleh rasa keimanan kepada ALLAH dan sesama mereka yang bertanggungjawab memperkatakan dan menegakkan kebaikan walau di mana dan kapanpun. Masyarakat yang berjuang ialah masyarakat yang memelihara bangsa dan agama daripada tercemar oleh pengaruh luar dan maksiat. Sebab itu para sahabat (salafussoleh) berjaya mempertahankan kebaikan umat dan kurang berkrisis.
Itulah sebagian daripada sifat-sifat atau kebaikan-kebaikan masyarakat para sahabat (salafussoleh) dalam konteks hubungan dengan ALLAH. Banyak lagi sifat baik pada diri mereka sebenarnya seperti zuhud, warak, taat, patuh, tawadhuk, berbaik sangka, membesarkan Akhirat dan lain-lain akhlak lahir dan batin yang tinggi lagi mulia. Dengan sifat-sifat itulah mereka dapat menjadi umat contoh sepanjang zaman.

 

KHIDMAT DENGAN MASYARAKAT (MANUSIA)

ALLAH berfirman:
Maksudnya: Akan ditimpa kehinaan di mana saja mereka berada kecuali yang mengadakan hubungan dengan ALLAH (hablumminallah) dan hubungan dengan manusia (hablumminannas), dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kafir kepada ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itudisebabkan mereka durhaka dan melampaui batas.
(Ali Imran: 112)
Demikianlah sebenarnya ALLAH mengatur satu sistem kehidupan yang menjamin keselamatan di dunia dan Akhirat. Menyimpang daripada kaedah ini bererti memilih kehinaan di dunia dan Akhirat. Ertinya Islam meminta umatnya setiap masa hidup menghubungkan diri dengan ALLAH dan juga dengan sesama manusia. Mencuaikan salah satu atau kedua-duanya sekaligus bererti menempah kehinaan di mana-mana.
Demikianlah masyarakat para sahabat (salafussoleh) yang kerana faham ajaran Islam dan kerana ketaatan pada Al Quran, tidak mencuaikan urusan-urusan kemasyarakatan, sekalipun mereka sibuk beribadah kepada ALLAH. Sembahyang, zikir, baca Al Quran dan puasa tidak menghalang mereka daripada berjuang membangunkan urusan masyarakat. Malah sebenarnya kekuatan dan kesungguhan untuk memperjuangkan nasib masyarakat diperolehi daripada iman, sembahyang, zikir dan puasa mereka. Sesuailah dengan perintah Rasulullah SAW:
Maksudnya:  Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Dan beramallah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.
(Riwayat: Ibnu ‘Asakir)
Di antara khidmat-khidmat masyarakat yang mereka perjuangkan ialah:

 

1.     Pendidikan

Umat Islam pada zaman para sahabat (salafussoleh) merupakan pencinta-pencinta ilmu dan pengkaji-pengkaji yang menguasai bidang ilmu pengetahuan dan pendidikan seluruh manusia pada zaman itu. Pada zaman merekalah ilmu itu berkembang kepada berbagai-bagai bidang seperti ilmu hisab, ilmu falak, ilmu kimia, ilmu pengobatan, ilmu binaan dan lain-lain yang perlu untuk pembangunan lahiriah masyarakat (ilmu fardhu kifayah). Di samping itu lahimya ahli-ahli fiqih, hadits, usuluddin, tafsir, sejarah dan ahli-ahli falsafah yang terkenal ke seluruh dunia hari ini. Masyarakat para sahabat (salafussoleh), karana mencintai ilmu pengetahuan, telah membenarkan ulama’-ulama’ mereka sepenuh masa dengan tugas-tugas pelajaran dan pendidikan, tanpa perlu mencari nafkah hidup. Sebab masyarakat menyumbangkan harta yang banyak kepada baitul mal yang kemudian menjadi sumber ekonomi bagi pejuang-pejuang ilmu seluruhnya. Dengan itu, ulama dan ahli ilmu sibuk mengajar, mengumpul dan mengembangkan ilmu pengetahuan.
Yang tinggal dan kita banggakan hanyalah serangkap kata oleh musuh untuk mengenang jasa besar para sahabat (salafussoleh):
“Kita berterima kasih kepada Islam kerana memulai penerokaan di bidang ilmu pengetahuan yang mana kami tinggal meneruskan saja.”

 

2.     Ekonomi

Pembangunan duniawi tentulah tidak berkembamg tanpa kekuatan ekonomi. Masyarakat manapun juga kalau mau menegakkan dan mengukuhkan masyarakat mesti memikirkan dan merangkakan satu sistem ekonomi yang kemas dan berkesan. Begitulah halnya dengan masyarakat para sahabat (salaffussoleh). Sistem ekonomi mereka adalah sistem yang lahir dari hati yang luhur, yang beriman, yang cinta Akhirat dan yang rela miskin di dunia kerana merebut kekayaan di Akhirat. Mereka berjaya menegakkan satu sistem ekonomi yang cukup bersih, yang tidak mampu lagt ditegakkan oleh ahli-ahli ekonomi seluruh dunia hari ini.
Yang menjadi bank kepada masyarakat para sahabat (salafussoleh) bukanlah institusi-institusi keuangan kerajaan atau badan-badan swasta yang kaya raya (yang mau melebihkan kekayaan mereka melalui perputaran uang orang-orang kaya, manakala orang miskin tidak perhitungkan dalam kaidah percaturan ekonomi mereka). Juga, bank-bank para sahabat (salafussoleh) bukanlah bangunan gagah perkasa yang terletak di pekan-pekan besar dengan megahnya. Tapi masyarakat para sahabat (salafussoleh) berjaya menjadikan tiap-tiap individu mereka yang kaya, sebagai ‘bank’ kepada masyarakatnya. Dan rumah-rumah mereka itulah yang menjadi tempat proses perputaran dan penggunaan uang mereka. Ertinya kalau waktu itu ada seratus orang kaya maka seratus buah banklah yang ada. Kalau ada seribu orang kaya, seribu buah banklah yang ada, bertempat di berbagai kampung dan bandar yang ada manusia.
Tujuan bank mereka pun bukan untuk menyimpan duit orang berada, memberi pinjaman dengan cagaran dan mengenakan kadar bayaran kembali yang berganda-ganda. Bank-bank para sahabat (salafussoleh) ialah bank yang akan mengeluarkan uang untuk keperluan umat islam yang miskin, untuk membangunkan apa-apa kepentingan pada masyarakat serta untuk tabung jihad fisabilillah. Ertinya bank bukan untuk menyimpan duit tapi untuk mengeluarkan duit. Bank bukan menjaga kepentingan individu tetapi menjaga kepentingan masyarakat dan agama. Kapanpun orang miskin boleh pergi ke ‘bank’ untuk mendapatkan duit, tanpa pinjaman atau cagaran. Bila-bila juga masyarakat perlukan uang, bank-bank senantiasa terbuka untuk mengisi keperluan itu.
Masyarakat para sahabat (salafussoleh) tidak perlu membuat hubungan dan kerjasama ekonomi dengan orang kafir untuk menampung keuangan mereka. Apalagi untuk berhutang dan mengadu nasib kepada musuh-musuh ALLAH. Harga diri umat islam dan peraturan (undang-undang) ALLAH lebih mahal daripada duit yang diambil daripada orang kafir. Sebab itu masyarakat para sahabat (salafussoleh) berdiri sendiri malah bisa juga memayungi masyarakat lain melalui sistem ekonomi yang ditunjukkan oleh islam.
Sebenarnya dalam masyarakat manapun ada orang kaya dan ada orang miskin. Tidak ada rasanya di dunia ini satu masyarakat yang anggotanya semua miskin atau semua kaya-kaya. Sebagaimana tidak ada satu masyarakat yang semua anggotanya cantik, pandai dan sempurna belaka. Selalunya ada yang cantik, ada yang hodoh, ada yang pandai, ada yang bodoh ada yang sempurna dan ada yang cacat. Itulah sunnatullah, sebagaimana firman-Nya:
Maksudnya:  ALLAH-lah yang melapangkan rezeki bagi siapa yang la kehendaki dan menyempitkannya bagi siapa yang la kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibanding dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit).
 
(Ar Ra’d: 26) 
Maksudnya: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa – bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. 
(Al Hujurat: 13)
Kalaulah manusia hanya terdiri dari satu bangsa, bagaimana lagi kita bisa menyaksikan berbagai ragamnya dunia ini? Atau kalau manusia setaraf semuanya, dengan cara apa untuk kita saling berhubungan?
Tujuan ALLAH jadikan kedudukan miskin kaya misalnya, ialah supaya manusia dapat membina hubungan persaudaraan melalui saling memberi dan menerima antara mereka. Yang kaya memberi kepada yang miskin. Perintah agar rezeki pemberian ALLAH (kepada orang kaya) itu dibelanjakan terdapat banyak sekali dalam Al Quran malah di awal-awalnya. Firman-Nya:
Maksudnya: Kitab ini (Al Quran) tidak syak lagi ianya sebagai petunjuk pada orang yang bertaqwa. Iaitu mereka yang beriman dengan yang ghaib, yang mendirikan sembahyang dan yang membelanjakan apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Al Baqarah: 2-3)
Sesudah beriman, dan mengerjakan sembahyang, orang yang bertaqwa itu membelanjakan rezeki yang ALLAH kurniakan kepada mereka di jalan yang ALLAH perintahkan. Ertinya, orang yang bersembahyang dan yang beriman itu orang yang pemurah, yang lebih suka memberi daripada menerima. Kerana cinta kepada ALLAH, membesarkan Akhirat dan saling berkasih sayang antara sesama manusa, mereka tidak menyimpan harta tapi membelanjakannya kerana ALLAH, untuk simpanan Akhirat. Demikianlah para sahabat (salafussoleh). Kerana dorongan iman yang kuat, mereka menjadi orang yang suka memberi, sanggup susah kerana orang lain dan menjaga kepentingan masyarakat dan agama lebih daripada kepentingan sendiri. Pada waktu-waktu ujian kelaparan melanda mereka, semua mau menjadi orang yang mula-mula kelaparan, kerana menjaga kepentingan saudara yang lain. Manakala bila rezeki datang pada mereka, mereka semua rela menjadi orang yang terakhir merasa kenyang, juga kerana memikirkan keselamatan saudara yang lain.
Bila dikatakan orang kaya memberi, tidak bermakna orang miskinnya gelojoh pula menerima dan meminta-minta. Kerana iman juga, orang miskin pada zaman para sahabat (salafussoleh) bersikap redha, sabar dan tenang dalam kemiskinan. Kerana iman, mereka yakin dan berharap untuk kaya di Akhirat. Sebab itu sebagian mereka sengaja menempah miskin sekalipun peluang untuk kaya itu terbuka. Dengan manusia-manusia yang berhati begitu, kerajaan para sahabat (salafussoleh) tidak m‡nghadapi kesulitan untuk mentadbir negara dan masyaraka mereka. Malah keutuhan ekonomi mereka memaksa orang kafir di zamannya menyandar nasib kepada orang Islam. Para sahabat (salafussoleh) menjadi tuan kepada manusia-manusia lain di seluruh dunia waktu itu. Dan martabat setinggi itu datang daripada kekuatan yang bersumberkan iman dan ibadah yang sungguh-sungguh kepada Allah Ta’ala.

 

3.     Tugas Kewanitaan

Wanita zaman para sahabat (salaffussoleh) jauh berbeza dengan wanita abad 20-an ini. Selain mempunyai aqidah yang kuat, tindakan serta sikap hidup mereka juga selaras dengan syari’at islam. Mereka lebih mencintai akhirat daripada dunia, dan sangat taat kepada ALLAH dan Rasul. Atas dasar itu wanita-wanita zaman para sahabat (salafussoleh) lebih suka berkhidmat mencari keredhaan ALLAH daripada mencari keuntungan duniawi. Mereka sanggup mengurung diri di rumah, berkhidmat untuk suami dan anak-anak di samping menguatkan ibadah yang mendekatkan diri dengan Allah Ta’ala. Bukan mereka tidak tahu atau tidak mampu bergelanggang di luar rumah tapi kerana ALLAH dan Rasul memerintahkan mereka senantiasa di rumah, maka mereka taat dan patuh. Mereka tidak berfikir panjang untuk mentaati ALLAH dan Rasul. Untung atau rugi dipulangkan saja kepada ALLAH. Iman mendorong mereka mengutamakan kehendak ALLAH dan Rasul daripada kehendak-kehendak diri atau orang lain. Iman menjadikan mereka merasa bahawa berkhidmat kepada suami dan anak-anak itu lebih utama daripada berkhidmat kepada selainnya. Iman juga membuat mereka memandang pahala lebih mahal daripada harta dunia.
Kalaulah seluruh tenaga dan kemampuan wanita diarahkan untuk tugas-tugas kemasyarakatan (di luar rumah), hingga tugas-tugas keibuan dan menjaga rumahtangga dijadikan tugas sampingan, untuk apa perkawinan digalakkan? Apakah perkawinan hanya bermaksud untuk menghalalkan seks tanpa kepentingan apa-apa selain itu? Barangkali bagi umat islam hari ini, jawabannya memang ya! Tapi tidak bagi masyarakat para sahabat (salafussoleh). Perkawinan bagi mereka bukan sekedar untuk melepaskan ketegangan nafsu tapi, lebih penting daripada itu, untuk menjunjung dan melaksanakan Sunnah Rasulullah SAW.
Malah kemahuan seks itu sendiri hanya ‘alat’ dalam proses meramaikan umat di bumi ini. Jadi memikirkan perkawinan sekaligus memikirkan anak-anak, keperluan, kasih sayang, pendidikan, dan nasib mereka di dunia dan Akhirat. Tugas ini berat dan mesti dihadapi sungguh-sungguh dan penuh bijaksana. Inilah tugas ibu (wanita). Bukan tugas pembantu. ALLAH menggalakkan ibu bersungguh-sungguh dalam tugas menjaga dan mendidik anak-anak ini dengan menjanjikan pahala yang cukup besar. Berkawin juga bukan sekedar berkawan, sebaliknya membina dan menghubungkan ikatan jiwa yang abadi untuk kebahagiaan di dunia dan Akhirat. Ini tidak mudah untuk dilaksanakan. Isteri punya kerja dan tugas yang banyak dan berat dalam hal ini. Sebab itu si isteri disuruh sepenuh masa dalam tugas-tugas sebagai isteri. Dan pahala untuk tugas ini sama besarnya dengan pahala suami yang berjuang di luar rumah. Demikian pandangan Islam.
Wanita zaman para sahabat (salafussoleh), kerana faham dan yakin dengan perintah ALLAH dan Rasul, gigih memperjuangkan tugas-tugas kewanitaan mereka. Mereka menentang keras gerakan membebaskan wanita (Women’s Lib) daripada tugas asal mereka itu. Mereka tidak ghairah kerja di luar kerana kalaupun dapat bayaran (upah) tinggi tapi itu tidak ada nilai di sisi ALLAH. Untuk apa dikorbankan hidup untuk sesuatu yang akan ditinggalkan malah yang akan membebani kehidupan di Akhirat?

 

4.     Kemudahan pemusafir

Masyarakat para sahabat (salafussoleh) sangat memikirkan kepentingan bersama umat Islam. Pada zaman mereka, di mana-mana saja disediakan rumah musafir dan perigi musafir yang diwakafkan oleh orang-orang yang mampu. Jadi, waktu itu tidak ada musafir yang terbiar. Mereka senantiasa menjadi tetamu di mana saja mereka sampai.
Demikianlah Islam dan umatnya memberi keselamatan kepada manusia, khusus kepada sesama Islam. Tidak berlaku dalam masyarakat Islam penganiayaan terhadap manusia lain. Sebaliknya di mana-mana juga masyarakat Islam membela dan memberi kemudahan kepada saudara se-Islam.
Itulah sebagian gambaran kehidupan masyarakat para sahabat (salafussoleh). Masyarakat didikan Rasulullah dan para sahabat. Masyarakat yang cinta ALLAH dan membesarkan Akhirat lebih daripada dunia. Dengan hati yang sufi (bersih daripada segala mazmumah), terbinalah satu sistem masyarakat dan negara yang benar-benar aman dan makmur. Firman ALLAH:
Maksudnya: Sesungguhnya bagi kaum Saba’ ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka yaitu dua buah kebun di sebelah kanan dan di sebelah kiri. (kepada mereka dikatakan): “Makanlah olehmu dari rezki yang (dianugerahkan) Tuhanmu dan bersyukurlah kamu kepada-Nya.Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH.
(Saba’: 15)
Sistem politik, ekonomi, sosial, pendidikan, pengobatan, perhubungan dan segala yang mereka tegakkan, bersih daripada segala bentuk mungkar dan maksiat. Asas atau dasar bagi semua sistem ini ialah iman yang kuat. Para sahabat (salafussoleh) tidak memulai pembangunan masyarakat berdasarkan ekonomi yang teguh atau politik atau ibadah atau pendidikan atau lain-lainnya, tetapi memulainya dengan menanam iman ke dalam hati setiap anggota masyarakat. Dengan iman, akan lahirlah segala bentuk akhlak dan kehidupan yang telah dipaparkan di atas.
 

Setelah manusia kenal, cinta dan takutkan Tuhan. Setelah manusia mengutamakan hidup Akhirat. Setelah mereka yakin bahawa kejahatan yang dibuat di dunia akan dibalas di Akhirat, kekal abadi seksanya tidak terperi, maka manusia pun takut hendak membuat salah dan maksiat, kecuali sedikit sekali. Ini bukan satu yang dongengan, ia telah berlaku di dalam sejarah selama 300 tahun yang dikatakan zaman Salafussoleh. Zaman selepas Salafussoleh itulah yang kita hendak ulangi, berdasarkan kaedah yang sama (Cintakan Tuhan, takutkan Tuhan, cintakan hidup di Akhirat). Nanti hasilnya sama, kerana kaedahnya sama. InsyaAllah. Yuk! :)
Create your own banner at mybannermaker.com!

Comments

Popular posts from this blog

Maksud Sebenar Sekufu.

Soalan: Saya terkeliru dengan persolan sekufu dalam perkhawinan. Apakah maksud 'sekufu' yang sebenarnya seperti yang telah ditetapkan dalam Islam? Adakah ia bermaksud yang jika seorang berkedudukan rendah dari segi taraf hidup, pendidikan dan sebagainya tidak layak untuk bergandingan dengan seorang yang berkedudukan lebih tinggi dari segi nilaian kebendaan ( dunia )? Nurul Suhana, Kuantan Jawapan: Kufu dari sudut bahasa bermaksud sama atau setaraf. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, meredeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan. Sebahagian fuqahak mutaakhirin al Syafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua. Menurut Imam Syafei perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram.Oleh sebab itu beliau sendiri tidak menolak perkah

Kemusnahan Tanah Suci Mekah Yang Dirahsiakan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak sembang-sembang pasal perkembangan sejarah sikit sebanyak. Walaupun nampak macam lari sikitniche blog ni yang lebih kepada kesihatan dan bisnes tapi anyway sekali-sekala tak salahkan?!  Just nak sedarkan dari terlambat dan sebenarnya  niche  blog ni yang hakiki adalah KESEDARAN. Sebab mungkin ramai orang TAHU tapi sedikit sangat orang yang SEDAR. So, kerja saya adalah untuk sedarkan serami mungkin orang yang masih tidur. Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?! Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidi

Wajah Cicit Keturunan Rasulullah SAW Telah Tersebar

Adakah anda ingat lagi apakah gelaran Rasulullah s.a.w untuk zaujahnya (isterinya), iaitu Saidatina Aisyah R.A Rasulullah s.a.w pernah menggelar Saidatina Aisyah R.A dengan gelaran Al-Humaira yang bermaksud putih kemerah-merahan. Ap Rasanya ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik pipi yang putih kemerah-merahan ini. Sebenarnya beliau adalah cicit Rasulullah, iaitu anak ulamak besar Madinah Al-Munawwarah, Sayyid Yusuf Halim anak Syeikh Jameel Halim Al-Husaini. Keturunan Rasulullah s.a.w melalui Sayyidina Husain. K7L : Jangan ada yang taksub pulak sudah..   SUMBER Popular Post: Mengapa Yahudi Cerdik? Roboh Masjid Punca Allah Hantar Taufan Haiyan? Surat Dari Wanita Kristian Kepada Wanita Islam