Skip to main content

‘What’s The Problem? No Problem.’


Sepanjang berulang alik ke Pakistan selama setahun saya mengesan satu kelaziman dalam perbualan harian masyarakat Pakistan yang saya jadikan tajuk tulisan ini. Itu pun saya fahami sekiranya mereka bercakap dalam bahasa Inggeris. Apabila terdapat sesuatu yang tidak kena akan kedengaran seseorang akan bertanya, ‘What’s the problem.’ Pihak yang ditanya akan menjawab dengan segera, ‘No problem.’ Soalan dan jawapan begitu sudah menjadi basahan dalam perbualan dan bukan lagi ada makna apa-apa. Kami sering bergurau dengan kawan-kawan orang Pakistan,
‘In this country there is a lot of masala.’
Mereka akan menjawab dengan wajah bangga dan gembira,
‘Oh yes, Masala ini our country is very special menu.’
Sedangkan kami bergurau dalam bentuk double meaning. Kami maksudkan lain mereka faham lain. Lidah mereka memang menyebut masalah itu dengan sebutan satu jenis menu masakan Pakistan iaitu Masala. Kami maksudkan di Pakistan banyak masalah. Mereka pula faham di Pakistan banyak masakan Masala. Adakalanya kami bergurau,
‘We don’t want any masala.’
Mereka bertanya kembali,
‘Why, Masala is so tasty and delicous.’
Kami hanya ulang,
‘We have no reason but we don’t want any masalah.’
Berbalik kepada sambungan kisah yang saya coretkan sebelum ini. Kami telah berjaya melepaskan Imam Ariffin pulang ke Malaysia setelah pergi berunding dengan Pengurus MAS. Kami juga membantu dua orang lagi rakyat Malaysia yang kekeringan kerana tersadai di Karachi selama dua minggu. Mereka sangat kesal dan kecewea kerana tidak terfikir dan tidak menjangkakan perkara demikian boleh terjadi dalam sebuah negara Islam, caca marba, porak peranda, banyak masalah serta menyusahkan. Banyak urusan kerja tergendala dan tertunda. Mereka mengharapkan sebagai tetamu dalam negara Islam sewajarnya mendapat layanan istimewa, tenang dan menyenangkan.
Namun pengalaman di Karachi terjadi sebaliknya. Mereka berkata,
‘Bukankah melayani tetamu itu adalah wajib.’
Kami menjawab dengan penjelasan yang mudah difahami,
‘Hukum melayani tetamu memanglah wajib. Bagi orang mukmin pasti akan mempraktiskan tuntutan tersebut. Setakat ini nampaknya harapan itu terlalu jauh lagi kerana rata-rata Umat Islam belum mukmin. Kita hanya di tahap muslim sahaja.’
Mereka bertanya lagi,
‘Eh, ada beza ke antara muslim dengan mukmin.’
Kami menjawah,
‘Ya, malah amat jauh bezanya. Menjadi Muslim itu mungkin melalui warisan atau baka atau keturunan. Siapa sahaja yang mengucap Dua Kalimah Syahadah beserta ada keyakinan maka mereka menjadi muslim. Sedangkan mukmin itu adalah mereka yang memiliki ciri utamanya takut dan cintakan Tuhan. Dari takut dan cintakan Tuhan itulah akan ada bersama mereka berbagai ciri yang lain termasuk cabang dan ranting iman itu seperti melayani tetamu, menghormati jiran, mengutamakan orang lain dan berbagai lagi. Apa yang kita harapkan itu hanya ada pada mukmin sedangkan mereka ini hanya muslim. Lebih-lebih lagi tahap muslim yang ada zaman ini agak teruk. Mereka bersikap acuh tak acuh terhadap agama. Mereka beragama Islam betul-betul pun tidak, kafir betul-betul pun tidak. Akibatnya Umat Islam akan bersikap menurut watak bangsa masing-masing. Misalnya Orang Melayu wataknya lemah lembut dan mudah mesra. Watak Orang Jawa adalah taat. Watak orang Arab biasanya keras dan kasar. Watak orang Pakistan macam yang kita tengok serta alami di sini. Watak orang mukmin seperti yang kita baca dalam sejarah mengenai Rasulullah saw dan para Sahabat.’
Kami ceritakan kepada mereka yang kami melalui kawasan kastam di airport melalui green lane. Mereka bertanya,
‘Ada ke green lane. Tak nampak pun sign bord green lane, yang kami nampak semua barang teruk kena geledah.’
Kami jelaskan,
‘Green lane itu kami buat sendiri. Caranya ialah kami buat baik seperti yang diajarkan dalam agama. Kami buat sedikit kajian apa yang sangat disukai oleh orang Pakistan. Kami dapati mereka sangat sukakan buah nenas dan isi kelapa tua. Tapi buah kelapa tua kami tak pernah bawa. Setiap kali kami datang apabila berada di kawasan kastam kami buka kotak berisi empat belas biji buah nenas jenis manis. Setiap petugas kastam hingga kepada pegawai mendapat dua biji. Selepas itu mereka langsung tidak membuka barang-barang kami.
Sedangkan setiap kali kami datang, kami membawa bersama sepuluh buah radio jenama Sony dan seribu peket santan serbuk. Nenas, kalau ada pun berharga RM15 sebiji. Owner rumah yang kami sewa di Islamabad amat cerewet. Dia selalu membebel mengenai rumput panjang dan daun kering di halaman rumah. Cerewetnya hilang setelah kami hadiahkan tiga biji nenas setiap kali kami datang. Kalau rumput terlajak panjang dia sendiri yang bawakan tukang potong rumput. Begitulah akhlak Rasulullah saw yang telah menwan hati seluruh manusia.’
Tibalah masanya giliran saya untuk meninggalkan Pakistan. Coretan ini juga adalah yang terakhir selama berada di Pakistan. Banyak yang saya pelajari, banyak pengalaman yang saya timba dan banyak iktibar serta pengajaran yang saya perolehi. Inilah yang dikatakan belajar dari Universiti Kehidupan. Pengalaman juga adalah guru yang amat berharga. Ketika memasuki Pakistan, saya melalui green lane di kawasan kastam seperti yang saya coretkan di atas. Ketika pulang pula tiada green lane dan saya juga bukan VIP atau diplomatic staff. Di kaunter check ini saya sudah menempuh pengalaman. Tiada kaedah terbaik ketika berpusu-pusu, bertolak dan rempuhan untuk membuat check ini kecuali bermodalkan sifat sabar. Lagi pun saya kira inilah kali terakhir saya berhadapan keadaan yang tidak menyenangkan. Saya telah terbang ke banyak benua. Tiada pengalaman gusar seperti di Airport Karachi. Saya juga tidak mahu bertanya kepada siap-siapa kenapa terjadi begitu kerana saya sudah tahu jawapannya.
Di mana dunia pun manusia yang tiada kualiti memang sering menjadi punca masalah. Manusia yang berkualiti bukan sahaja tidak mencetuskan masalah malah mampu mengatasi dan menyelesaikan masalah. Sekurang-kurangnya masyarakat di luar Islam kualiti mereka terletak pada ilmu serta disiplin berasaskan etika, misalnya etika kerja. Sedangkan Islam mengajarkan kualiti itu berasakan iman dan akhlak mulia. Kualiti umat Islam akan jauh lebih kelihatan cantik, indah dan menarik.
Saya hadir lebih awal di kaunter check ini biar pun terpaksa berdiri menunggu agak lama. Ketika itu barisan masih elok dan saya berada pada kedudukan yang sembilan. Saya dapati setelah genap setahun keadaan yang sama masih belum berubah. Sedikit demi sedikit barisan yang pada awalnya elok sudah berubah. Barisan sudah tiada apabila mula berlakunya berebutan, bertolak, merempuh. Saya masih belum beranjak dari tempat saya berdiri. Di kaunter penuh berpusu dengan penumpang. Mereka saling berlumba dan berebut menghulurkan tiket dan pasport. Muka juga macam sedang makan belimbing buluh mentah. Kali ini saya tersenyum sendirian apabila saya teringat kepada sindiran orang Yahudi, ‘Kalau rakyat Mesir boleh berbaris ketika menaiki bas nescaya kami sudah lama kalah perang.’ Kata-kata orang Yahudi itu maksudnya amat dalam. Mereka bukan maksudkan barisan menaiki bas itu tetapi jiwa rakyat mesir yang rusuh dan bekecamuk. Jiwa yang rusuh dan bekecamuk itu bukan hanya ada pada rakyat Mesir sahaja malah ada pada majoriti Umat Islam di seluruh dunia.
Sedang saya mengelamun dan tidak perasan tersenyum sendirian tiba-tiba saya dikejutkan dengan satu panggilan,
‘Yes you, please come forward.’
Saya nampak petugas di kaunter itu menggamitkan tangan. Saya menoleh ke belakang kerana saya sangka dia memanggil kenalan dia. Tapi dia ulangi,
‘Yes you.’
Dia mengangguk kepada saya. Mungkin dia sudah cam wajah saya. Mungkin dia memang sudah maklum sikap saya yang tenang serta tidak merempuh sesiapa. Penumpang lain dianggarkan dalam empat puluh orang memberi laluan kepada saya. Sebaik saya menghulurkan tiket dan pasport dia berkata,
‘All of them are waiting list passengers.’
Baharulah saya tahu rupa-rupanya saya yang tercegat semenjak awal pada kedudukan ke sembilan dalam barisan telah tercicir menjadi penumpang terakhir membuat check in.
Sekali lagi saya senyum sendirian yang tiada siapa faham maksudnya. Sedangkan hati saya berkata,
‘Tanpa berebut dan tanpa merempuh sesiapa pun akhirnya semua penumpang akan tiba di Kuala Lumpur pada masa yang sama juga.’
Andainya semua berfikir demikian sudah memadai dapat mengekalkan kualiti diri yang ada disiplin kalau pun tidak sampai ke tahap berakhlak mulia yang diajarkan oleh agama. Penumpang yang waiting list pula sudah berkerumun memenuhi kaunter. Mengalami keadaan demikian membuatkan hati saya berbisik,
‘Kalau keadaan begini berlarutan entah bila Umat Islam dapat mengalahkan Yahudi.’
Sepanjang dalam penerbangan selama lima jam, banyak juga yang saya fikirkan mengenai umat. Pengalaman yang saya timba selama setahun berulang alik ke Pakistan membuatkan saya membandingkan berbagai aspek dengan Malaysia, negara tercinta. Tidak perlulah saya coretkan di sini secara apa aspek perbandingan yang saya buat itu. Tentulah mengenai orangnya, budaya hidup, sikap, pemikiran, keperibadian, agama, akhlak, kasih sayang, perpaduan hinggalah kepada pentadbiran, kemajuan dan pembangunan. Kalau ditulis tentulah akan mendatangkan rasa bangga dan riya’ yang ditegah oleh agama. Memadailah kalau saya simpulkan di sini betapa bersyukurnya Allah swt takdirkan lahir dalam sebuah negara bertuah. Bukan setakat kemakmuran yang sedang ranum, agama juga sedang bertambah baik, akhlak juga sedang bertambah cantik, kasih sayang semakin subur dan perpaduan semakin utuh.
Rakyat Malaysia yang tidak nampak perkembangan positif dalam negara sendiri ertinya termasuk tidak pandai bersyukur kepada Allah swt. Apakah mereka perlu dihantar tinggal bersama dalam mana-mana kem pelarian, baharulah mereka mahu bersyukur kepada Allah swt. Sekurang-kurangnya mereka turut merasa malu dengan berbagai telatah dan gelagat Umat Islam yang memalukan pada mata dunia. Misalnya terdapat sebuah syarikat penerbangan negara Islam yang tidak dibenarkan terbang di ruang udara Eropah selama bertahun-tahun. Negara-negara Eropah amat bimbang pesawatnya menjunam ke atas bumbung rumah. Terdapat sebuah negara Islam yang menahan dua orang gadis Eropah di lokap airport tanpa kesalahan apa-apa. Pada waktu malam pegawai imegresen memasuki lokap gadis tersebut dan berlakulah dot, dot, dot.
Terdapat negara Islam yang tiada tandas awam. Ada pula yang terdapat tandas awam tetapi najis manusia memenuhi permukaan lantai hingga tiada tempat untuk berpijak. Cuba lihat pula kedudukan ranking rasuah negara Islam, sungguh menyedihkan. Label bodoh, buta huruf, comot, pengotor, bengis, militan, pemalas, tidak jujur, tidak setia dari umat Islam dari kaca mata masyarakat barat masih belum dapat dibebaskan. Bersyukurlah masyarakat dan negara kita telah bebas dari label tersebut. Marilah kita bersyukur. Rasulullah saw ada bersabda maksudnya,
‘Menyebut tentang nikmat ertinya syukur. Meninggalkannya bererti kufur. Barangsiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit nescaya dia tidak akan bersyukur dengan nikmat yang banyak. Barangsiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia nescaya dia tidak berterima kasih kepada Allah.
(catatan pengalaman seorang pendakwah bebas Ustaz Shuib Sulaiman).

Comments

Popular posts from this blog

Maksud Sebenar Sekufu.

Soalan: Saya terkeliru dengan persolan sekufu dalam perkhawinan. Apakah maksud 'sekufu' yang sebenarnya seperti yang telah ditetapkan dalam Islam? Adakah ia bermaksud yang jika seorang berkedudukan rendah dari segi taraf hidup, pendidikan dan sebagainya tidak layak untuk bergandingan dengan seorang yang berkedudukan lebih tinggi dari segi nilaian kebendaan ( dunia )? Nurul Suhana, Kuantan Jawapan: Kufu dari sudut bahasa bermaksud sama atau setaraf. Dari sudut istilah pula kufu bermaksud satu aspek yang ketiadaannya akan mencacatkan kedua mempelai. Aspek kufu dalam mazhab syafei ada enam iaitu, Islam, meredeka, agama, keturunan, kerjaya dan sejahtera dari sebarang kecacatan. Sebahagian fuqahak mutaakhirin al Syafei mengambil kira usia juga termasuk ke dalam aspek kufu. Mereka menghukumkan seorang gadis remaja tidak sekufu dengan seorang lelaki tua. Menurut Imam Syafei perkahwinan mereka yang tidak sekufu tidaklah haram.Oleh sebab itu beliau sendiri tidak menolak perkah

Kemusnahan Tanah Suci Mekah Yang Dirahsiakan

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca. Hari ni nak sembang-sembang pasal perkembangan sejarah sikit sebanyak. Walaupun nampak macam lari sikitniche blog ni yang lebih kepada kesihatan dan bisnes tapi anyway sekali-sekala tak salahkan?!  Just nak sedarkan dari terlambat dan sebenarnya  niche  blog ni yang hakiki adalah KESEDARAN. Sebab mungkin ramai orang TAHU tapi sedikit sangat orang yang SEDAR. So, kerja saya adalah untuk sedarkan serami mungkin orang yang masih tidur. Siapa yang baru sahaja pulang dari umrah sekarang pasti membawa gambar-gambar kawasan Arab Saudi yang semakin maju, gilang gemilang dengan segala puncak menara di merata-rata ceruk Mekah dan Madinah. Sebanyak $ 26 billion telah dibelanjakan untuk tujuan ini. Tapi tahukah anda, apa yang berlaku di sebaliknya?! Dari apa yang kita boleh lihat struktur ikonik lama Masjidil Haram telah pun dimusnahkan untuk memberi laluan kepada rekaan model lebih kontemporari. Pemusnahan bangunan Masjidi

Wajah Cicit Keturunan Rasulullah SAW Telah Tersebar

Adakah anda ingat lagi apakah gelaran Rasulullah s.a.w untuk zaujahnya (isterinya), iaitu Saidatina Aisyah R.A Rasulullah s.a.w pernah menggelar Saidatina Aisyah R.A dengan gelaran Al-Humaira yang bermaksud putih kemerah-merahan. Ap Rasanya ramai yang akan tertanya-tanya siapakah gerangan pemilik pipi yang putih kemerah-merahan ini. Sebenarnya beliau adalah cicit Rasulullah, iaitu anak ulamak besar Madinah Al-Munawwarah, Sayyid Yusuf Halim anak Syeikh Jameel Halim Al-Husaini. Keturunan Rasulullah s.a.w melalui Sayyidina Husain. K7L : Jangan ada yang taksub pulak sudah..   SUMBER Popular Post: Mengapa Yahudi Cerdik? Roboh Masjid Punca Allah Hantar Taufan Haiyan? Surat Dari Wanita Kristian Kepada Wanita Islam