SEGAMAT – Isu mengenai jasad ditemui berada dalam keadaan elok semasa  kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur yang terlibat dalam pembinaan Lebuh  Raya Segamat-Tangkak tidak seharusnya dipolemikkan.
Malah ia tidak seharusnya menjadi alat politik kepada masyarakat di luar  sana.
Kontraktor dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij) untuk menjalankan  kerja pemindahan kubur berkenaan, Jamaluddin Sapuan, berkata, mereka yang tidak  tahu perkara sebenar di tanah perkuburan Islam Batu Badak, di sini, tidak  seharusnya mengeluarkan kenyataan.
“Saya tahu isu kubur ini sudah tersebar luas di luar sana terutamanya di  Facebook. Apa yang mendukacitakan, apabila mereka bercakap seolah-olah mereka  ini lebih arif tentang pekerjaan ini.
“Tanpa disedari, komen-komen mereka ini telah menggores hati waris-waris  jenazah yang dikebumikan di sini. Saya sudah 22 tahun terlibat dalam kerja  sebegini tambahan pula pekerjaan saya sebagai Penyelia Tanah Perkuburan Islam  Daerah Kota Tinggi membuatkan saya dekat dan arif tentang situasi yang berlaku  di sini dan disebabkan itu Maij telah memberi kepercayaan kepada saya untuk  melakukan kerja ini,” katanya, di sini, semalam.
Jamaluddin berkata, isu itu harus dihentikan serta-merta kerana dibimbangi  akan menjejaskan kerja-kerja pemindahan memandangkan terdapat 350 buah kubur  yang harus dipindahkan melibatkan tiga buah kawasan perkuburan Islam.
Katanya, beliau telah mendapat kebenaran daripada Mufti Johor untuk  memindahkan kubur tersebut, namun mengakui memang terdapat beberapa jasad yang  mana kain kapannya masih dalam keadaan elok di tanah perkuburan berkenaan.
“Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang  dikeluarkan dan keadaan kain kapannya masih berada di dalam keadaan baik cuma  sedikit kotor dan lusuh.
Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan dengan kain kapan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk ditanam di tanah perkuburan yang baharu di Kampung Alai.
Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan dengan kain kapan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk ditanam di tanah perkuburan yang baharu di Kampung Alai.
“Lagipun jasad yang kain kapannya masih elok ini baru berusia di antara tujuh  dan 11 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu lagi. Apa yang dikatakan  jasad yang sempurna apabila jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari  pertama dikebumikan. Tetapi di sini, cuma keadaan kain kapannya sahaja yang elok  dan sedikit bahagian anggota badan yang tidak terusik,” katanya.
Jamaluddin juga tidak menafikan bahawa pernah berhadapan dengan keadaan jasad  yang langsung tidak terusik meskipun sudah 30 tahun dikebumikan.
“Bagi saya keadaan seperti ini yang boleh diangkat menjadi iktibar dan  pedoman kepada mereka yang hidup,” katanya.
Misteri bau harum?
Pada hari pertama kerja-kerja memindahkan kubur dilakukan, terdapat bau harum  dan wangi di sekitar kawasan kubur berkenaan yang dirasai semua pihak.
Jamaluddin berkata, perkara itu biasa bagi dirinya dan menganggap bau  berkenaan sebagai salah satu tanda kebesaran ALLAH SWT untuk ditunjukkan kepada  umat akhir zaman.
“Kalau betul wangian tersebut datang daripada kawasan kubur ini, kita amat  beruntung kerana dapat menghidu wangian syurga.
Tetapi ketika itu terlalu ramai pengunjung dan waris yang hadir. Saya bimbang  wangian tersebut datang daripada minyak wangi mereka.
“Walau apa pun, saya harap semua dapat ambil iktibar dan pedoman daripada isu  ini kerana bukan semua di antara kita yang beruntung berhadapan dengan situasi  seperti ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang waris kepada dua jasad yang tidak terusik,  Rahmah Mohd Zain, 77, berkata, ia merupakan kali pertama dirinya berhadapan  dengan situasi seperti ini dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan  ALLAH SWT di depan mata.
“Dahulu saya tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat  empat buah kubur waris saya iaitu kubur atuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki  saya. Tetapi kubur kakak ipar (Senyum Salleh) dan adik lelaki saya (Harun Mohd  Zain) sahaja yang masih elok kain kapannya.
“Adik saya meninggal dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Chaah  ketika berumur 68 tahun. Saya sempat menyentuh kain kapannya dan terasa ada lagi  dagingnya,” katanya.
Rahmah yang merupakan guru agama turut menafikan bahawa gambar dua jasad yang  tersiar di media sosial didakwa sebagai suami isteri adalah tidak benar,  sebaliknya tiada sebarang perhubungan.
“Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi  dikenali sebagai Mehran. Sewaktu hayatnya, Ahmad Raof ini memang merupakan  seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur  ini.
“Arwah Mehran pula merupakan seorang yang tidak pernah meninggalkan solat dan  sering mengajar mengaji tanpa mengharapkan sebarang upah. Mungkin itu adalah  sebab mengapa jasadnya tetap terpelihara,” katanya.
Comments