Suami kepada pegawai operasi Ambank yang mati ditembak, Irwan Kamaruddin  melahirkan rasa kesyukuran di atas usaha keras pihak Polis Diraja Malaysia  (PDRM) sehingga tertangkapnya suspek pembunuhan isterinya, Norazita Abu Talib,  37.
Suspek yang dikenali sebagai Ardi itu telah berjaya ditahan di Kampung  Belungkor, Kota Tinggi, Johor pada jam 7.00 pagi tadi.
Irwan, 37, ketika dihubungi Bernama berharap suspek akan dikenakan hukuman  yang setimpal dengan jenayah yang telah dilakukannya.
Selain itu, dia juga turut melahirkan rasa penghargaan di atas usaha pihak  polis yang bermati-matian memburu suspek sehingga ke lubang cacing.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada polis kerana menangani kes itu sehingga  selesai,” katanya.
Ketika ditanya bagaimana kehidupannya serta dua anaknya selepas pemergian  isterinya pada 23 Oktober lalu, Irwan hanya berkata kehidupannya tetap berjalan  seperti biasa namun rasa sunyi tanpa kehadiran isteri di sisinya.
Norazita telah ditembak dengan menggunakan ‘pump gun’ oleh Ardi yang  merupakan pengawal keselamatan di bank berkenaan ketika Allahyarham sedang  menyimpan wang hasil operasi bank pada hari tersebut.
Pengawal yang merupakan warga negara Indonesia itu juga dilaporkan telah  melarikan wang berjumlah RM450,000 sejurus insiden itu berlaku.
Comments