Lima beradik yatim piatu jadi anak angkat Du
Pelabuhan Klang: " Nak umi...Nak umi...Nak duduk atas riba umi, tapi umi dah tiada."
Demikian luahan kerinduan anak bongsu daripada lima beradik, Nisa Ailani Mohd Suhaimi, 5, yang kehilangan ibu ayah tercinta, Mohd Suhaimi Zakaria, 55, dan Ramlah Muktar, 43, akibat Covid-19, baru-baru ini.
Nisa kelihatan mengesat air mata ketika menatap gambar kenangan mereka lima beradik bersama ibu ayah yang dirakam pada Aidilfitri lalu.
Menurut kakak sulung Nisa, Intan Iewanina Mohd Suhaimi, 21, ibu dan ayah mereka meninggal dunia selang seminggu selepas disahkan positif Covid-19 pertengahan Julai lalu.
"Mak mula demam pada 17 Julai, manakala ayah demam pada 19 Julai, saya minta mak ayah buat ujian saringan Covid-19.
"Kami sekeluarga ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Daerah Klang di Dewan Sukan Taman Sri Andalas.
"Saya terkejut dapat tahu mak 'stage 4' dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut manakala ayah dibawa ambulans pada 24 Julai, juga ke HTAR," katanya yang ditemui di rumahnya di Flat Seri Perantau, di sini, hari ini.
Namun Intan tidak menyangka, perbualan telefon bersama ibunya pada 26 Julai itu perbualan kali terakhir sebelum menerima khabar pemergian ibu tersayang pada 31 Julai lalu.
"Pada 31 Julai, saya dan adik ke CAC Daerah Klang di Dewan Serbaguna Pelabuhan Klang untuk memotong gelang kuarantin, kira-kira jam 9 pagi ibu saudara memaklumkan berita sedih itu.
"Kami tak beritahu ayah yang mak sudah tiada tapi kami dapat rasa ayah dah tahu. Kali terakhir berhubung dengan ayah pula pada 5 Ogos sebelum ayah ditidurkan.
"Doktor hubungi kami jam 5 pagi hari itu, kami sembang dengan ayah hingga jam 10 pagi melalui panggilan video. Kami baca Yaasin, dengar ayah lafaz dua kalimah syahadah dan pada 7 Ogos, ayah pula pergi buat selamanya," katanya.
Intan akui, meskipun belum bersedia dengan berita mengejutkan itu, namun dia harus kuat demi empat adiknya iaitu Batrisyia Izzah, 19 tahun; Uzair Wazini, 16 tahun; Ahmadenijad, 12 tahun serta Nisa.
"Ia terjadi secara tiba-tiba, sangat sekejap (sekelip mata)..jadi saya pun tidak terfikir sebab selama ini mak ayah uruskan segalanya..tetapi sekarang saya pula yang perlu buat semua perkara.
"Saya sekarang belajar secara dalam talian. Saya boleh jaga adik saya kecil di rumah, adik yang besar tinggal di asrama. Lagipun permintaan mak ayah mahu kami belajar sehingga tamat.
"Terima kasih semua yang datang ziarah, bagi sumbangan, bagi semangat iaitu Dun Selat Klang, Ahli Parlimen dan semua pihak yang datang menghulur bantuan termasuk kewangan.
"Rumah ini mak ayah saya beli tetapi belum habis bayar, jadi saya tidak tahu apa (urusan) seterusnya," katanya.
Uzair pula berkata, ibu ayahnya mahu mereka menjadikan agama sebagai panduan hidup walaupun mereka sudah tiada.
"Mak ayah mahu kami belajar rajin-rajin, jadi anak soleh. Pentingkan agama terlebih dahulu, kejar akhirat dari dunia," katanya
Intan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak; Batrisyia pula menuntut di Kolej Komuniti Sik, Kedah; Uzair adalah pelajar Maahad Tahfiz Azzikr, Batu Belah Klang; Ahmadenijad di Sekolah Islam Al-Farabi Kampung Delek dan Nisa pula di tadika Pasti Islah, Sungai Sireh, di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang Datuk Abdul Rashid Asari yang mengunjungi lima beradik itu memutuskan menjadikan mereka sebagai anak angkat Dun Selat Klang bermula sehingga mereka tamat belajar.
"Segala perbelanjaan, urusan harian, persekolahan mereka akan ditanggung oleh Dun Selat Klang dan saya juga bercadang menubuhkan satu tabung untuk mereka, kita akan guna untuk keluarga ini dan mungkin juga keluarga lain sebab saya percaya kawasan ini juga ramai kehilangan insan tersayang kerana Covid-19.
"Bermula hari ini, tabung ini saya masukkan tunai sebanyak RM5,000 dan mengalu-alukan sekiranya ada bantuan dari mana-mana pihak yang bermurah hati agar mereka tidak ketinggalan atau terganggu pelajaran.
"Saya berharap Intan akan jaga adik-adik, mereka semua selamat, selesa dan meneruskan pelajaran demi masa depan. Saya juga akan maklum kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) tetapi saya faham, LZS juga perlu bantu banyak keluarga sebab itu saya ambil inisiatif ini," katanya.
Comments