SEGAMAT – Isu mengenai jasad ditemui berada dalam keadaan elok semasa kerja-kerja penggalian dan pemindahan kubur yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Segamat-Tangkak tidak seharusnya dipolemikkan.
Malah ia tidak seharusnya menjadi alat politik kepada masyarakat di luar sana.
Kontraktor dilantik oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij) untuk menjalankan kerja pemindahan kubur berkenaan, Jamaluddin Sapuan, berkata, mereka yang tidak tahu perkara sebenar di tanah perkuburan Islam Batu Badak, di sini, tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan.
“Saya tahu isu kubur ini sudah tersebar luas di luar sana terutamanya di Facebook. Apa yang mendukacitakan, apabila mereka bercakap seolah-olah mereka ini lebih arif tentang pekerjaan ini.
“Tanpa disedari, komen-komen mereka ini telah menggores hati waris-waris jenazah yang dikebumikan di sini. Saya sudah 22 tahun terlibat dalam kerja sebegini tambahan pula pekerjaan saya sebagai Penyelia Tanah Perkuburan Islam Daerah Kota Tinggi membuatkan saya dekat dan arif tentang situasi yang berlaku di sini dan disebabkan itu Maij telah memberi kepercayaan kepada saya untuk melakukan kerja ini,” katanya, di sini, semalam.
Jamaluddin berkata, isu itu harus dihentikan serta-merta kerana dibimbangi akan menjejaskan kerja-kerja pemindahan memandangkan terdapat 350 buah kubur yang harus dipindahkan melibatkan tiga buah kawasan perkuburan Islam.
Katanya, beliau telah mendapat kebenaran daripada Mufti Johor untuk memindahkan kubur tersebut, namun mengakui memang terdapat beberapa jasad yang mana kain kapannya masih dalam keadaan elok di tanah perkuburan berkenaan.
“Sejak hari pertama penggalian sehingga kelmarin, terdapat 12 jasad yang dikeluarkan dan keadaan kain kapannya masih berada di dalam keadaan baik cuma sedikit kotor dan lusuh.
Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan dengan kain kapan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk ditanam di tanah perkuburan yang baharu di Kampung Alai.
Selepas dikeluarkan, kami terus menyarungkan dengan kain kapan yang baharu sebelum dimasukkan ke dalam keranda untuk ditanam di tanah perkuburan yang baharu di Kampung Alai.
“Lagipun jasad yang kain kapannya masih elok ini baru berusia di antara tujuh dan 11 tahun dan boleh dikategorikan sebagai baharu lagi. Apa yang dikatakan jasad yang sempurna apabila jasadnya tetap sama tidak berubah seperti hari pertama dikebumikan. Tetapi di sini, cuma keadaan kain kapannya sahaja yang elok dan sedikit bahagian anggota badan yang tidak terusik,” katanya.
Jamaluddin juga tidak menafikan bahawa pernah berhadapan dengan keadaan jasad yang langsung tidak terusik meskipun sudah 30 tahun dikebumikan.
“Bagi saya keadaan seperti ini yang boleh diangkat menjadi iktibar dan pedoman kepada mereka yang hidup,” katanya.
Misteri bau harum?
Pada hari pertama kerja-kerja memindahkan kubur dilakukan, terdapat bau harum dan wangi di sekitar kawasan kubur berkenaan yang dirasai semua pihak.
Jamaluddin berkata, perkara itu biasa bagi dirinya dan menganggap bau berkenaan sebagai salah satu tanda kebesaran ALLAH SWT untuk ditunjukkan kepada umat akhir zaman.
“Kalau betul wangian tersebut datang daripada kawasan kubur ini, kita amat beruntung kerana dapat menghidu wangian syurga.
Tetapi ketika itu terlalu ramai pengunjung dan waris yang hadir. Saya bimbang wangian tersebut datang daripada minyak wangi mereka.
“Walau apa pun, saya harap semua dapat ambil iktibar dan pedoman daripada isu ini kerana bukan semua di antara kita yang beruntung berhadapan dengan situasi seperti ini,” katanya.
Sementara itu, salah seorang waris kepada dua jasad yang tidak terusik, Rahmah Mohd Zain, 77, berkata, ia merupakan kali pertama dirinya berhadapan dengan situasi seperti ini dan bersyukur dapat melihat kebesaran dan kekuasaan ALLAH SWT di depan mata.
“Dahulu saya tinggal berhampiran kubur ini selama 32 tahun. Di sini, terdapat empat buah kubur waris saya iaitu kubur atuk, emak, kakak ipar dan adik lelaki saya. Tetapi kubur kakak ipar (Senyum Salleh) dan adik lelaki saya (Harun Mohd Zain) sahaja yang masih elok kain kapannya.
“Adik saya meninggal dua tahun lalu akibat kemalangan jalan raya di Chaah ketika berumur 68 tahun. Saya sempat menyentuh kain kapannya dan terasa ada lagi dagingnya,” katanya.
Rahmah yang merupakan guru agama turut menafikan bahawa gambar dua jasad yang tersiar di media sosial didakwa sebagai suami isteri adalah tidak benar, sebaliknya tiada sebarang perhubungan.
“Salah satu jasad yang masih elok itu ialah Ahmad Raof dan seorang lagi dikenali sebagai Mehran. Sewaktu hayatnya, Ahmad Raof ini memang merupakan seorang yang alim dan sering ke surau lama yang terletak bersebelahan kubur ini.
“Arwah Mehran pula merupakan seorang yang tidak pernah meninggalkan solat dan sering mengajar mengaji tanpa mengharapkan sebarang upah. Mungkin itu adalah sebab mengapa jasadnya tetap terpelihara,” katanya.
Comments